Dividen ASB 2017, Kadar Dan Bonus Amanah Saham Bumiputera

Dividen ASB 2017. Beberapa minggu terakhir ini ramai yang mencari maklumat tentang kadar dividen Amanah Saham Bumiputera dan bonus bagi tahun berakhir disember 2017. Bukan setakat ASB sahaja tetapi ianya melibatkan Amanah Saham Nasional(ASN).

Kadar dividen dan bonus ASB/ ASN akan diumumkan pada setiap hujung tahun. Kadar dividen ASB 2017 telah diumumkan pada 22 Disember 2017.

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah mengumumkan penangguhan urusniaga ASB dan ASN bermula dari 20 Disember 2017 hingga 1 Januari 2018. Ini bertujuan untuk pengagihan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Urusniaga akan dibuka semula pada 2 Januari 2018.

kadar dividen asb 2017

Menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), ASNB mengisytiharkan pengagihan pendapatan yang lebih tinggi bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan bonus khas sempena ulang tahun ke-40 PNB.

Kadar Dividen ASB 2017 Dan Bonus Khas Ulang Tahun Ke-40 PNB

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan kadar dividen ASB 2017 iaitu 7.00 sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit. Dan Bonus Khas Ulang Tahun Ke-40 PNB sebanyak 1.00 sen seunit untuk baki sehingga 10,000 unit bagi Amanah Saham Bumiputera bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Jumlah pengagihan sebanyak RM10.7 bilion akan dimanfaatkan oleh 9.1 juta pemegang unit yang memiliki lebih daripada 145.6 bilion unit dalam ASB. Sebahagian besar pemegang unit, berjumlah kira-kira 7.5 juta dengan baki sehingga 10,000 unit akan mendapat pulangan efektif sebanyak 8.25 sen seunit.

Pengiraan dividen dan bonus kini adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi 12 bulan dalam tahun kewangan dana tersebut. Sebelum ini, pengiraan adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi 10 tahun yang lalu.

Sementara itu, pengiraan pengagihan Bonus Ulang Tahun Khas juga tertakluk kepada purata baki pegangan minimum bulanan pada 2017, hanya untuk 10,000 unit pertama bagi setiap akaun.

Unit-unit yang dilaburkan semula dari dividen dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2018, manakala Bonus Ulang Tahun Khas akan dikreditkan pada 1 Mac 2018.

Pembayaran dividen ASB 2017 dibuat daripada pendapatan bersih ASB manakala bonus dan Bonus Ulang Tahun Khas dibayar daripada dana proprietari PNB mengikut budi bicara syarikat.

Bagi tabung unit Amanah Saham Nasional (ASN), ASNB telah mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 3.65 sen seunit, iaitu hasil dividen sebanyak 5.0 % yang menyumbang kepada Jumlah Pulangan Tahunan sebanyak 15.0 % setakat 21 Disember 2017.

Jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM69.4 juta akan dimanfaatkan oleh 1.2 juta pemegang unit dengan 1.9 bilion unit dalam dana itu. Setakat 30 November 2017, ASN mencatat pendapatan bersih sebanyak RM72.65 juta.

Pengiraan dividen ASN adalah berdasarkan unit yang dipegang pada 31 Disember 2017. Pengagihan pendapatan akan dilaburkan semula ke dalam unit tambahan dan secara automatik akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 2 Januari 2018, berdasarkan Nilai Aset Bersih seunit pada 31 Disember 2017.

Semua urus niaga bagi ASB dan ASN di semua cawangan dan ejen ASNB telah ditangguhkan pada 20 Disember 2017 sehingga 1 Januari 2018 untuk memudahkan pengiraan dividen ASB dan ASN 2017. Pemegang unit akan dapat menyemak dan mengemaskini akaun mereka melalui portal baru ASNB di myasnb.com.my atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga diteruskan semula pada 2 Januari 2018.

Baca juga, Semak Akuan ASB Melalui MyASNB.

Rekod Pembayaran Dividen ASB Dan ASN Sebelum Tahun 2017

Rekod kadar dividen ASB termasuk bonus di bawah ini diambil dari tahun 2010 hingga tahun 2016. Format sebagaimana di bawah.

Tahun: Kadar DIviden ASB + Bonus ASB = Jumlah (Sen Seunit)

2016 : 6.75 + 0.5 = 7.25
2015 : 7.25 + 0.5 = 7.75
2014 : 7.5 + 1 = 8.5
2013 : 7.7 + 1 = 8.7
2012 : 7.75 + 1.15 = 8.9
2011 : 7.65 + 1.15 = 8.8
2010 : 7.5 + 1.25 = 8.75

Semoga artikel kadar dividen ASB 2017 dan bonus memberi manfaat kepada semua pembaca. Pembaca juga digalakkan untuk membaca kenyataan akhbar PNB di bawah untuk maklumat yang lebih sahih.

Leave a Reply